Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools turun menjalani latihan kali pertama bersama kelab barunya, Cerezo Osaka.
Ini selepas kelab J1 League itu memuat naik beberapa gambar beliau menjalani latihan bersama pemain-pemain Cerezo.
“Pemain baharu (Dion Cools) menyertai (latihan) pasukan hari ini. Walaupun dalam keadaan suhu panas dan lembap, beliau berjaya melengkapkan latihan penuh.
“Malah, selepas latihan, beliau masih menunjukkan senyumannya yang manis,” kata kelab dalam satu kenyataan di X.
Barisan pemain Cerezo kembali berlatih selepas bercuti selama dua hari. Anak buah Arthur Papas kini fokus untuk aksi liga seterusnya menentang Tokyo Verdy pada 21 Jun.
Cools melengkapkan perpindahan ke Cerezo pada awal Jun lalu. Beliau kemudiannya diperkenalkan sebagai pemain baharu kelab kepada penyokong sebelum aksi pertama playoff J. League Cup pada 4 Jun lalu.
Perpindahan ini menyaksikan Cools kembali bekerjasama dengan Papas. Jurulatih Australia itu cukup dikenali beliau kerana pernah melatihnya semasa bersama Buriram United.
Perpindahan itu menjadikan Cools pemain Malaysia terbaru beraksi di bumi Jepun selepas Wan Zack Haikal Wan Noor, Nazirul Naim Che Hashim, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsudin.