Cerezo Osaka Umum Ketibaan Dion Cools
MakanBola
Cerezo Osaka FC

Pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools kini sah diumumkan sebagai pemain kelab Jepun, Cerezo Osaka.

Perpindahan ini diumumkan sendiri oleh pihak Cerezo Osaka menerusi sebuah kenyataan di laman sesawang kelab Jepun itu yang memperkenalkan Cools sebagai rekrut terbaharu.

“Cerezo Osaka dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Dion Cools telah menyertai kelab ini dari Buriram United FC secara perpindahan tetap,” umum pihak kelab dalam sebuah kenyataan.

“Dion akan menjalani tugasan antarabangsa bermula 5 Jun dan dijadualkan menyertai kelab selepas selesai komitmen bersama skuad kebangsaan.”

Cools dalam kenyataan sama turut meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang bersama pasukan yang berpangkalan di Osaka ini dan tak sabar untuk berjumpa ‘keluarga’ baharu beliau di Jepun.

“Saya benar-benar gembira mendapat peluang untuk datang ke Jepun dan Osaka, dan saya sangat berterima kasih atas peluang ini,” komen Dion Cools kepada pihak kelab.

“Saya tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan baharu, barisan kejurulatihan, dan semua peminat secepat mungkin,” tambah pemain bek kanan itu.

Cerezo Osaka ketika ini berada di kedudukan ke-8 J League 1 dengan mengumpul 29 mata daripada 20 perlawanan dan khidmat Cools pastinya ditagih ketua jurulatih, Arthur Papas.

Untuk rekod, Cools dan Arthur Papas pernah bekerjasama ketika di Buriram United sebelum ini sebelum jurulatih dari Brazil itu membawa haluan baharu ke Jepun sertai Cerezo Osaka.