ASEAN Futsal Championship: Australia Bangkit Hampakan Malaysia
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia gagal mencipta kejutan dalam aksi pertama Kumpulan B ASEAN Futsal Championship apabila tewas kepada Australia.

Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan memburu kemenangan pertama dalam ASEAN Futsal Championship.

Malah, ini juga peluang buat skuad futsal negara bangkit selepas mengharungi kempen mengecewakan di pentas Piala Asia Futsal 2026.

Addie Azwan Zainal memilih Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim sebagai kapten untuk aksi ini. Bintang muda Pahang Rangers, Adam Rayyan Nor Hisam menjadi sandaran gol Malaysia.

Australia yang berstatus pasukan ke-51 dunia berusaha mencari jaringan awal pada separuh masa pertama tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, Malaysia mencipta kejutan dengan membuka tirai jaringan menerusi Adam Rayyan pada minit keenam.

Tersentak, Australia yang dibimbing Miles Downie berusaha mencari gol penyamaan tetapi gagal. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Australia terus meningkatkan tekanan ke atas barisan pertahanan negara untuk memburu gol penyamaan.

Hasilnya, gol tersebut hadir pada minit ke-27. Selepas menyedari gawang Malaysia kosong, Tyler Garner menolak bola ke dalam gawang meskipun cuba dihalang penjaga gol, Ammar Harith Mohamed.

Lima minit sebelum perlawanan tamat, Ethan De Melo menyumbat gol kedua Australia. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan tugas sukar di mana mereka akan menentang naib juara Asia, Indonesia dalam aksi kedua kumpulan pada 7 April.