ASEAN Futsal Championship: Indonesia Padam Impian Malaysia
UltraSukan
Timnas Futsal Indonesia

Peluang Malaysia layak ke separuh akhir ASEAN Futsal Championship tertutup apabila tewas kepada naib juara Asia, Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan B.

Selepas tumbang di tangan Australia dalam aksi pertama kumpulan, anak buah Addie Azwan Zainal perlu menang ke atas Indonesia jika ingin menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Anak buah Hector Souto pula mengintai peluang mara ke separuh akhir lebih awal dengan satu lagi kemenangan. Ini selepas mereka membelasah Brunei 7-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B.

Bintang muda Pahang Rangers, Adam Rayyan Nor Hisam terus menjadi sandaran gol skuad negara. Bekas tonggak import Pahang Rangers, Guntur Sulistyo menjadi pilihan Souto untuk merobek gawang Malaysia.

Separuh masa pertama menyaksikan Indonesia berusaha merobek gawang skuad negara menerusi Guntur dan Andres Dwi Persada.

Situasi ini memaksa penjaga gol muda Malaysia, Ammar Harith Mohammad bekerja keras menangkis setiap percubaan yang digerakkan pihak lawan.

Kecekapan Ammar Harith memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Indonesia terus menggandakan serangan untuk memburu gol pembukaan.

Gol yang dicari-cari akhirnya hadir tiga minit selepas babak kedua bermula. Guntur melepaskan rembatan deras yang menewaskan Ammar Harith untuk gol pertamanya dalam ASEAN Futsal Championship.

Meskipun dibolosi, anak buah Addie Azwan terus mengekalkan corak permainan berdisiplin untuk mengekang serangan Indonesia.

Faaris Amsyar Marhaidi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-37. Malangnya, percubaan pemain baharu Selangor FC itu berjaya dinafikan penjaga gol Indonesia.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan ASEAN Futsal Championship.

Justeru, aksi menentang Brunei pada 8 April dilihat peluang buat anak buah Addie Azwan menutup kempen kejohanan dengan kemenangan.