Jurulatih Indonesia, John Herdman enggan mengulas mutu pengadilan membabitkan pasukan itu dan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Hyundai Cup 2026 di Stadium Jalan Besar.
Kontroversi tercetus dalam perlawanan itu apabila pemain Singapura, Song Ui-young pada awalnya dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua.
Pemain berdarah Korea Selatan itu dilayangkan kad kuning selepas bertelagah dengan pemain Indonesia, Ivar Jenner. Insiden itu menyebabkan Ui-young dan Jenner kemudiannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil Kuwait, Al Manii Khalfan Salim.
Walau bagaimanapun, kem Singapura kemudiannya menghela nafas lega apabila VAR membatalkan keputusan kad kuning kedua pemain tengah Lion City Sailors (LCS) itu.
Ui-young kemudiannya menjadi pencipta gol penting Singapura dengan membuat hantaran yang disudahkan Ilhan Fandi pada minit ke-66. Gol tersebut bukan saja memadamkan kelebihan gol awal Indonesia menerusi Ragnar Oratmangoen.
Malah, gol Ilhan memastikan Singapura layak ke separuh akhir kejohanan sekaligus mengiringi juara kumpulan, Vietnam. Indonesia pula sekali lagi kecewa apabila terlepas peluang layak ke separuh akhir untuk dua edisi berturut-turut.
Apabila diminta mengulas tentang insiden tersebut, Herdman memilih untuk tidak mengulas tentang mutu pengadilan. Sebaliknya, beliau melihat tuah tidak memihak kepada pasukan itu meskipun memiliki peluang untuk meraih kemenangan.
“Tiada gunanya bercakap tentang kualiti pengadilan malam ini, itu hanya akan membuatkan saya ditimpa masalah,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.
“Pujian harus diberi kepada Singapura, mereka cukup kental dan tersusun (ketika bertahan) tetapi kita memiliki banyak peluang untuk memenangi perlawanan.
“Kita memiliki penguasaan bola dan kawalan yang mencukupi tetapi dewa bola sepak kadang-kadang tidak memberi apa yang kita mahukan.”
Kegagalan Indonesia layak ke separuh akhir dijangka mencetuskan persoalan tentang kedudukan Herdman bersama pasukan itu. Meskipun beliau memiliki kontrak dua tahun dengan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), sudah ada penyokong yang mahu bekas jurulatih Kanada itu dipecat.