Hasrat regu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik layak ke final Sukan Asia 2023 tidak kesampaian apabila tewas kepada regu India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty.
Dengan China tiada wakil di pentas separuh akhir, peluang terbuka luas buat kedua-dua regu meraih pingat emas acara regu lelaki.
Set pertama menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit dengan pada satu ketika, mereka terikat 10-10. Bagaimanapun, Rankireddy dan Shetty memastikan kemenangan milik mereka dengan keputusan 21-17.
Set kedua menyaksikan dominasi regu India itu. Pada satu ketika, mereka meninggalkan Aaron-Wooi Yik jauh di belakang pada kedudukan 11-3.
Bekas juara dunia 2022 itu cuba mengejar tetapi Rankireddy-Shetty memastikan kemenangan dalam genggaman dengan keputusan 21-12.
Keputusan ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik menamatkan kempen Sukan Asia mereka dengan pingat gangsa. Manakala Rankireddy-Shetty mencipta sejarah sebagai wakil India pertama layak ke final acara badminton individu Sukan Asia.
Regu India ini bakal berdepan regu Korea Selatan, Choi Sol-gyu dan Kim Won-ho di pentas final esok.