Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mudah mara ke pusingan ketiga acara perseorangan lelaki badminton Sukan Asia 2023 hari ini.
Ini selepas anak jati Alor Setar itu mudah mengatasi cabaran pemain perseorangan Timor Leste, Mourinho De Jesus.
Set pertama menyaksikan Zii Jia langsung tidak memberi ruang kepada lawannya yang tidak ternama itu mengutip mata. Dan itu sudah cukup buat beliau meraih kemenangan mudah 21-0.
Bersambung pada set kedua, Mourinho cuba memberi tentangan tetapi Zii Jia lebih ampuh. Pemain nombor 16 dunia itu mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-7.
Begitupun, laluan Zii Jia untuk mara ke suku akhir dijangka sukar esok. Ini kerana beliau akan menentang juara dunia perseorangan lelaki dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.