Khidmat pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias kini dalam radar kelab Argentina, Atletico Belgrano.
Ini selepas penyampai radio Argentina, Santi Ponce melaporkan pemain tengah berusia 28 tahun itu sebagai sasaran alternatif kelab berkenaan.
Ini kerana El Pirata dilihat berdepan kesukaran mendapatkan kembali pemain tengah Argentina, Santiago Longo. Longo ketika ini dipinjamkan ke kelab Brazil, Sao Paulo.
Belgrano berharap dapat menggunakan khidmat pemain berusia 26 tahun itu untuk kempen liga terbaru mereka. Malangnya, kelab Brazil itu dilaporkan mahu menangguhkan penamatan pinjaman Longo.
Situasi ini mendorong El Pirata memilih Elias sebagai sasaran alternatif. Pemain tengah Syria-Argentina itu cukup dikenali kerana beraksi untuk beberapa kelab seperti San Lorenzo dan Newell’s Old Boys.
Malah, Elias juga masih segar meraih kejayaan bergelar juara liga Argentina bersama Velez Sarsfield sebelum kembali menyertai JDT.
Belgrano berpotensi mendapatkan beliau secara percuma. Ini kerana berdasarkan semakan di Transfermarkt, Elias kini memiliki baki kontrak sehingga Mei 2025.
Justeru, Belgrano mempunyai pilihan sama ada membayar yuran perpindahan yang sesuai kepada JDT atau membawa masuk Elias sebagai ejen bebas.