Australia Bakal Sertai FIFA ASEAN Cup?
MakanBola
Commbank Socceroos

Australia berpotensi memeriahkan kejohanan bola sepak terbaru ASEAN iaitu FIFA ASEAN Cup.

ASEAN Football melaporkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berhasrat menjemput Australia untuk menyertai kejohanan tersebut.

AFF dilaporkan melihat kehadiran pasukan yang dibimbing Tony Popovic itu mampu menaikkan prestij dan nilai FIFA ASEAN Cup di peringkat global.

Sejak menyertai AFF pada 2013, The Socceroos tidak pernah beraksi dalam saingan ASEAN Championship. Ini dilihat sebahagian daripada syarat yang membolehkan Football Australia menyertai badan induk itu.

Sekiranya idea ini menjadi kenyataan, ini bakal menaikkan nilai komersial dan persaingan dalam kalangan semua pasukan ASEAN untuk kejohanan itu.

Meskipun begitu, ada juga yang bimbang tentang jurang kualiti yang ada membabitkan pasukan-pasukan ASEAN dan Australia. Ini ditambah dengan status pasukan itu sebagai pasukan ke-27 dunia dan keempat terbaik di Asia.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada AFF atau Football Australia berhubung status Australia menyertai FIFA ASEAN Cup.

FIFA ASEAN Cup bakal berlangsung dalam kalendar antarabangsa FIFA sekitar September dan Oktober ini.