Penjaga gol skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Azim Al Amin Kamaruddin mengakui kesilapan pemain mengakibatkan pasukan itu tunduk kepada Uzbekistan semalam.
Aksi pertama Kumpulan D Piala Asia B-23 2024 membabitkan Harimau Muda dan The White Wolves menyaksikan pihak lawan mendahului pada minit ke-11 menerusi kapten Jasurbek Jaloliddinov.
Ini selepas penyerang Uzbekistan, Ruslanbek Iyanov dijatuhkan Syahir Bashah dalam kotak penalti.
Skuad negara sekali lagi dihukum apabila kesilapan Muhammad Abu Khalil menghantar bola pantas disambar penyerang Neftchi Fergana, Ulugbek Khoshimov.
Khoshimov membuat larian pantas ke arah gol sebelum menewaskan Azim pada minit ke-83.
Penjaga gol baru Selangor FC itu mengakui kesilapan mudah yang dilakukan skuad negara pantas dihukum oleh The White Wolves.
Pada masa sama, kekalahan ini tidak mematahkan semangat anak buah Juan Torres Garrido dan berharap dapat bangkit dalam perlawanan seterusnya.
“Kesilapan biasa dalam bola sepak, semua orang buat kesilapan. Tapi tak sangka kesilapan (skuad negara) orang cakap boleh kena gol (daripada Uzbekistan).
“Tapi ada perlawanan seterusnya dan kita akan buat lebih baik lagi,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas perlawanan semalam.
Malaysia selepas ini bakal berhadapan dengan negara serantau, Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan D pada 20 April ini.
Vietnam bakal menjanjikan cabaran sukar selepas merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Kuwait dalam satu lagi aksi kumpulan semalam.