Advertisement
AFC U-23 Asian Cup: Penalti ‘Percuma’ Buat Malaysia Kecewa Di Tangan Uzbekistan
Asia
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia memulakan kempen Piala Asia B-23 dengan kekalahan apabila tewas 2-0 di tangan Uzbekistan.

Skuad kendalian Juan Torres turun dengan motivasi terbaik dengan dibarisi beberapa pemain seperti Luqman Hakim, Harith Haiqal, Azim Al-Amin dan kapten pasukan, Mukhairi Ajmal.

Nasib tidak menyebelahi skuad negara apabila perancang tengah negara, Syahir Bashah menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

Peluang ini mudah disudahkan oleh kapten pasukan, Jasurbek Jaloliddinov pada minit ke-10 untuk meletakkan juara edisi 2018 itu di hadapan.

Uzbekistan memperoleh lebih banyak peluang berbanding skuad negara dengan rembatan dari tengah padang berjaya menguji Azim Al-Amin buat kali kedua.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia membawa aura positif untuk mencari gol penyamaan selain mengatur beberapa serangan balas pantas.

Pasukan muda negara melakukan beberapa pertukaran dan percubaan Daryl Sham hampir membuahkan hasil.

Uzbekistan berjaya mencipta jaringan kedua menerusi pemain gantian, Ulugbek Khoshimov pada minit ke-84.

Tambahan masa 6 minit tidak mampu untuk mengubah keputusan perlawanan hingga wisel penamat dibunyikan.

Skuad negara mengharungi aksi dengan agak baik sungguhpun tewas kepada Qatar B-23 dalam perlawanan persahabatan terakhir.

Aksi seterusnya bakal menemukan skuad negara berdepan Vietnam pada 20 April 2024 jam 9 malam.