Azizulhasni Awang Label Kemenangan Penutup Indah
UltraSukan
MSN Malaysia

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menganggap pencapaian meraih pingat emas Piala Dunia Trek UCI di Nilai, Negeri Sembilan sebagai penutup terindah dalam kariernya.

Hal ini dinyatakan beliau selepas mengungguli final acara keirin di Velodrom Nasional Nilai pada 25 April lalu.

Azizulhasni menyifatkan kejayaan ini cukup bermakna kerana dapat merealisasikan impian meraih pingat emas di hadapan peminat sukan Malaysia.

Malah, perkara itu turut dikongsikan beliau dengan rakan baik dan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen selepas tamat final acara berkenaan.

“Kemudian selepas selesai semua keraian (kejayaan meraih pingat emas), saya kemudian berjumpa dengan dia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.

“Saya bercakap dengan dia, ‘Harrie, kalau saya kena bersara pada malam ini (semalam), saya akan jadi gembira. Saya tewaskan anda, saya sudah bersedia untuk bersara pada bila-bila masa.'”

Azizulhasni mengungguli acara keirin dengan menewaskan Lavreysen. Pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul pula terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga.

Kini, fokus jaguh berusia 38 tahun itu kini beralih kepada acara pecut individu lelaki. Azizulhasni dan seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom berjaya layak ke peringkat suku akhir.