“Babak Baru Saya Bermula Hari Ini” – Ong Kim Swee
MakanBola
Persik Kediri

Bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan Persik Kediri sebagai babak baharu dalam karier kejurulatihannya.

Selepas membantu Persis Solo kekal dalam Liga 1 Indonesia, kelab yang diberi jolokan Macan Putih itu pantas mendapatkan khidmat jurulatih berusia 54 tahun itu.

Sebaik pelantikannya disahkan oleh pengurusan Persik, Kim Swee berharap dapat membantu pasukan itu tampi lebih cemerlang untuk musim 2025/26.

“Babak baru untuk saya bermula hari ini apabila saya menyertai Persik Kediri. Saya amat berterima kasih kepada Arthur Irawan dan pengurusan kerana mengalu-alukan saya datang ke kelab hebat ini dan meletakkan kepercayaan mereka terhadap keupayaan saya.

“Ianya satu inspirasi untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang kaya dengan tradisi dan penyokong-penyokong yang setia. Saya tak sabar menyumbang semangat, dedikasi dan bekerjasama dengan semua pihak untuk mencapai cita-cita yang kita kongsi bersama.

“Saya tak sabar untuk belajar, bertambah baik dan memberikan segalanya baik di dalam dan luar padang bersama-sama Persik Kediri untuk mencapai matlamatnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kim Swee dibawa masuk menggantikan pengendali sebelumnya dari Portugal, Divaldo Alves. Alves membantu Macan Putih menamatkan musim di tangga ke-12 liga.

Bekas pengendali Sabah FC itu dijangka sibuk membentuk skuad mantap untuk musim 2025/26. Antara pemain yang dikaitkan dengan Persik Kediri ialah pemain sayap Portugal, Pedro Matos.