Pengendali Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee tidak memikirkan isu kontrak bersama pasukan itu ketika ini.
Semakan di Transfermarkt mendapati kontrak bekas jurulatih Harimau Malaya itu bersama pasukan Liga 1 Indonesia itu akan berakhir pada penghujung bulan ini.
Meskipun sedar tentang perkara itu, fokus Kim Swee ialah memastikan pasukan yang diberi jolokan Laskar Sambernyawa itu kekal dalam liga untuk musim hadapan.
“Untuk membicarakan kontrak saya bersama Persis Solo, saya tegaskan bahwa posisi kita masih belum selamat (dalam liga),” katanya seperti dilaporkan Bola Okezone.
“Saya faham dengan pengurusan Persis Solo, tentunya mereka ingin melihat situasi (pasukan) terlebih dahulu. Setelah selesainya baki perlawanan di liga, kemungkinan besar saya akan berbicara dengan pihak pengurusan.
“Tugas utama saya sekarang adalah membawa Persis Solo tetap beraksi di Liga 1 musim depan dan saya tidak ingin memikirkan hal lain selain itu hingga kita dipastikan kembali bersaing di Liga 1.”
Kedudukan semasa menyaksikan Persis kini menduduki tangga ke-13 liga dengan 35 mata, empat mata di hadapan Barito Putera yang menduduki tangga ke-16.
Laskar Sambernyawa memerlukan satu kemenangan daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk mengesahkan status mereka dalam Liga 1 musim depan.
Meskipun begitu, anak buah Kim Swee berdepan tugas mencabar. Ini kerana mereka akan menentang Dewa United pada 17 Mei dan juara liga, Persib Bandung pada 24 Mei.
Kim Swee menyertai Persis Solo selepas memilih meninggalkan Sabah FC pada November 2024. Sejak itu, beliau telah meraih tujuh kemenangan, tujuh seri dan tujuh kekalahan bersama Laskar Sambernyawa.