Khabar gembira menanti skuad badminton Malaysia apabila akan memiliki tenaga pakar dari negara jiran, Indonesia.
Berita ini dikongsikan menerusi satu ciapan yang dilakukan wartawan Astro Arena, Syifa Nasir bahawa seorang jurulatih kelahiran Indonesia bakal memperkuat barisan kejurulatihan negara dengan tumpuan beliau ke arah membantu pemain beregu wanita negara.
“Difahamkan seorang lagi tenaga pengajar dari Indonesia yang juga merupakan bekas pemain negara jiran dibawa masuk dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk membantu sektor beregu wanita negara”, tulis Syifa Nasir di laman X miliknya.
Tugas jurulatih beregu wanita negara kini sedang digalas oleh Hoon Thien How sambil dibantu dan dipantau jurulatih-jurulatih lain seperti Tan Bin Shen dan Rexy Mainaky.
Sektor beregu wanita negara sedang dibelenggu masalah prestasi dengan gandingan utama, Pearly Tan-M. Thinaah masih tercari-cari rentak sebenar mereka di samping masalah kecederaan yang dialami pemain lain.
Perkara ini perlu dipandang serius memandangkan Sukan Olimpik Paris 2024 sudah semakin tiba dan tarikh akhir pengumpulan mata kelayakan sudah hampir tiba.
Beberapa nama dan klu mula berlegar dalam kalangan peminat namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi dari pihak ABM.