Advertisement
Badrul Afzan Gesa Taji Terengganu Lebih Tajam
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Ketumpulan jentera serangan Terengganu FC terus memeningkan pemangku jurulatih pasukan itu, Badrul Afzan Razali.

Terengganu berharap dapat mengakhiri kemarau kemenangan mereka dalam lima perlawanan apabila bertemu dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 19 Oktober lalu.

Jentera serangan Peteh terdiri daripada Nelson Bonilla, Ismaheel Akinade, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dilihat berdepan kesukaran menembusi gawang Kedah yang dikawal Ifwat Che Akmal.

Sebaliknya, tuan rumah yang dahagakan kemenangan sejak 12 Julai lalu meraih gol berharga menerusi bek tengah Brazil, Jose Cleylton.

Badrul Afzan mengakui isu penyudah tumpul perlu diatasi segera jika Terengganu ingin kembali mengecapi kemenangan dalam Liga Super.

“Masalah kita sekarang ini memanglah (penyudah). Kalau kita tengok dua perlawanan saya mengambil alih tugas ini (pemangku jurulatih Terengganu), memang masalah kita penyeranglah tak menjaringkan gol.

“Walaupun kita cuba mencipta peluang tapi jaringan tak dapat diterjemahkan. Dalam bola sepak, kita kawal tetapi pada akhirnya, kita tewas. Bagi saya, kecewalah dengan peluang (penyudah) dalam perlawanan malam ini,” katanya dalam Nadi Arena.

Kekalahan terbaru Terengganu ini menyaksikan pasukan itu kekal menghuni kedudukan ketiga liga dengan 17 mata.

Meskipun berkongsi mata sama dengan Sabah FC di tangga keempat, Peteh masih di hadapan dari segi perbezaan jaringan. Sabah turut mengumpul 17 mata selepas menewaskan Perak FC 4-2 di Manjung.

Selepas ini, giliran Terengganu pula bertandang ke Manjung untuk menentang The Bos Gaurus pada 26 Oktober ini.