Peluang cerah Malaysia untuk melayakkan diri ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026 berpotensi untuk dicaras oleh Thailand dan Myanmar.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan B ASEAN Hyundai Cup bakal menyaksikan perseteruan 4 penjuru yang cukup sengit demi memastikan slot ke pusingan separuh akhir menjadi milik dua negara teratas kumpulan.
Thailand ketika ini mengungguli peringkat kumpulan B dengan 9 mata maksimum selepas 3 perlawanan, diikuti Malaysia dan Myanmar yang mengutip 6 mata, namun kelebihan head-to-head memihak skuad negara.
Filipina pula menghuni kedudukan keempat kumpulan setelah mengumpul 3 mata dan secara matematik, peluang The Azkals ke separuh akhir dilihat paling tipis berbanding 3 pasukan pencabar lain iaitu Thailand, Malaysia dan Myanmar.
Pada aksi terakhir ini, Malaysia yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe akan turun melayani kunjungan Filipina dengan pasukan Harimau Malaya perlu memburu kemenangan untuk menjamin tempat ke pusingan separuh akhir nanti.
Walau bagaimanapun, aksi antara Thailand vs Myanmar di Bangkok juga perlu diberikan perhatian dengan kedua-dua pasukan ini berpeluang untuk meranapkan impian skuad negara andai keputusan mengejutkan berlaku di sana.
Sekiranya Thailand mencapai kemenangan atau kedua-dua negara terikat seri, berita ini pastinya akan memberikan kelegaan buat Malaysia dengan syarat utama skuad kebangsaan berjaya menumpaskan Filipina di Cheras.
Jika Myanmar berjaya mengejutkan Thailand, situasi akan bertambah rumit, dengan senario tambahan Malaysia tewas kepada Filipina, dan membuatkan pasukan negara terlepas peluang besar bagu beraksi di pentas separuh akhir.
Kiraan mudah ketika ini memerlukan Malaysia menang ke atas Filipina di Cheras, sekali gus menepis segala senario atau kebarangkalian buruk yang meranapkan misi Harimau Malaya ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2022.
Aksi Malaysia vs Filipina bakal berlangsung pada Sabtu, 8 Ogos 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan sepak mula tepat jam 9 malam ini.