Kedudukan pengurus Man United, Erik ten Hag kini dalam bahaya sekiranya Sir Jim Ratcliffe melengkapkan pengambilan 25% saham kelab itu.
Prestasi tidak menentu United sejak awal musim menyaksikan mereka kini menduduki tangga kelapan EPL.
Selain prestasi kurang memberangsangkan, ketumpulan jentera serangan United dan khabar angin tentang ketidakharmonian dalam pasukan turut menghambat ten Hag.
Justeru, Football Insider melaporkan Ratcliffe bersedia melepaskan bekas pengurus Ajax Amsterdam itu selepas pengambilan saham yang dibuat beliau dimuktamadkan.
Dan pemilik syarikat gergasi petrokimia INEOS itu sudah merancang untuk merekrut pengurus Brighton, Roberto de Zerbi untuk mengisi kerusi panas di Old Trafford.
Sekiranya Ratcliffe benar-benar serius mahu mendapatkan de Zerbi, maka beliau harus bertindak pantas.
Ini kerana akhbar The Telegraph melaporkan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola percaya bekas jurulatih Sassuolo itu bakal dipilih sebagai pengganti beliau di Stadium Etihad.
Senario itu hanya akan terjadi seandainya bekas pengurus Barcelona itu memilih meninggalkan Stadium Etihad.
Walaupun perkara tersebut kemudiannya dinafikan oleh Guardiola, itu menunjukkan betapa berkalibernya status De Zerbi dalam kalangan pengurus EPL.
Di bawah bimbingan jurulatih Itali itu, Brighton bukan saja mempamerkan corak permainan menghiburkan.
Malah, The Seagulls terus melahirkan lebih ramai bakat baru yang menjadi sebutan baik dalam EPL mahupun saingan Liga Europa.
Ten Hag perlu mencari solusi bagi memastikan pasukannya terus meraih kemenangan.
Selepas ini, mereka bertandang ke Copenhagen untuk perlawanan UCL menentang FC Copenhagen pada awal pagi 9 November ini.