Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan rombakan di sektor perseorangan lelaki apabila beberapa nama digugurkan dari senarai pelatih.
Berita ini diumumkan sendiri pengarah kejurulatihan, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan dalam satu sidang media sebentar tadi.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, bagi musim 2024, 10 pemain perseorangan lelaki akan dikekalkan manakala tiga pemain akan digugurkan iaitu Lee Shun Yang, Rex Hooi dan Chia Jeng Hon.
Daripada senarai 10 pemain yang dikekalkan itu, lima pemain akan diletakkan di dalam kumpulan A manakala lima lagi pemain akan berada di dalam kumpulan B.
Lima pemain di dalam kumpulan A diketuai oleh naib juara Terbuka Artic iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe Eon.
Bagi kumpulan B pula, terdiri daripada Chua Kim Sheng, Ong Zhen Yi, Ong Ken Yong, Kok Jing Hong dan Shaqeem Shahyar.
Di dalam sidang media itu juga, diumumkan bahawa jumlah kejohanan bagi pemain pada musim hadapan akan dikurangkan dan Lee Shun Yang akan dijadikan pasangan sparring meskipun digugurkan dari senarai pelatih BAM.