Gabungan pemain muda dan berpengalaman menjadi taruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghadapi Badminton Asia Mixed Team Championships (BAMTC).
Ini selepas Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengumumkan senarai barisan pemain yang akan menggalas cabaran negara dalam kejohanan itu.
Langkah ini diambil bagi membolehkan pemain-pemain muda yang meningkat naik mendapat peluang untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.
“Selepas membuat pertimbangan, kita memilih satu pasukan yang seimbang, menggabungkan pengalaman pemain senior dengan pemain-pemain muda untuk memberi mereka satu peluang yang besar.
“Jika tidak sekarang, bila lagi mereka akan mendapat peluang,” katanya.
Rexy turut melihat faktor kalendar kejohanan yang ketat sebagai faktor yang mendorong pemain-pemain utama seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah tidak dipanggil.
“Pemain-pemain utama kita sedang bersedia menghadapi kalendar kejohanan yang ketat dan kejohanan ini memberi platform yang bagus buat pemain-pemain sokongan untuk tampil dan meraih pengalaman berharga,” tambahnya.
Leong Jun Hao dan Eogene Ewe menjadi sandaran kem negara untuk acara perseorangan lelaki.
Dua beregu lelaki yang menduduki kelompok 20 beregu lelaki terbaik dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King mengetuai cabaran beregu lelaki.
Acara beregu campuran menyaksikan Malaysia membawa beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
K. Letshanaa bakal mengetuai cabaran untuk acara perseorangan wanita. Beliau akan disokong perseorangan ke-95 dunia, Wong Ling Ching.
Teoh Mei Xee-Go Pei Kee dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui menjadi pilihan kem negara untuk acara beregu wanita.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan untuk saingan BAMTC 2025. Kejohanan itu bakal berlangsung dari 11 hingga 16 Februari ini.
Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir. Empat pasukan terbaik BAMTC 2025 bakal mendapat tiket automatik ke Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China yang berlangsung dari 27 April hingga 4 Mei depan.