BATC: Indonesia Tamatkan Perjuangan Hebat Malaysia
UltraSukan

Malaysia terpaksa menelan kepahitan tersingkir dalam kejohanan Badminton Asia Team Championship (BATC) 2024 selepas tumpas kepada Indonesia pada Jumaat.

Malaysia yang muncul naib juara kumpulan Y diundi berdepan juara bertahan edisi lalu bagi saingan wanita, Indonesia yang menjuarai kumpulan Z dalam aksi suku akhir ini.

Skuad wanita negara menurunkan K. Letshanaa sebagai perseorangan pertama menggantikan Goh Jin Wei untuk berdepan Putri Kusuma Wardani. Aksi sengit ditampilkan Letshanaa tidak mampu menghalang kemenangan pemain Indonesia itu 21-12, 18-21, 21-13.

Indonesia terus melebarkan kedudukan 2-0 setelah pasangan negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan dikejutkan dengan kekalahan kepada beregu pertama Indonesia, Lanny Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18, 15-21 .

Perseorangan kedua negara, Wong Ling Ching yang mengejutkan pemain pilihan Thailand semalam, dilihat mampu menyumbangkan mata namun tewas kepada pemain perseorangan kedua Indonesia, Ester Tri Wardoyo 21-14, 15-21, 16-21.

Tamat aksi di gelanggang 2, Malaysia 0-3 Indonesia.

Keputusan ini menyaksikan skuad wanita negara tidak berjaya mengulangi pencapaian tempat ketiga yang diraih pada edisi lalu.

Di aksi separuh akhir esok, Indonesia dijadualkan bertemu pemenang di antara Thailand atau Chinese Taipei yang akan bertarung dalam satu lagi aksi suku akhir.