Harapan Malaysia melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 musnah apabila tewas kepada Jepun di peringkat suku akhir berpasukan lelaki.
Selepas tewas 3-2 kepada Indonesia di peringkat kumpulan, Malaysia layak ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan D. Hal ini menyaksikan skuad negara menentang Jepun selaku juara Kumpulan C.
Usaha Malaysia meraih mata pertama menerusi Justin Hoh gagal. Ini selepas pemain ke-39 dunia itu tewas kepada Yushi Tanaka.
Justin memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada pemain ke-19 dunia itu dengan keputusan 17-21, 22-20, 11-21.
Beregu berpengalaman Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi menyumbang mata kedua negara itu. Mereka mengatasi cabaran Arif Junaidi dan Yap Roy King dengan keputusan 21-14, 21-12.
Ini kekalahan ketiga Arif-Roy King di tangan beregu yang menduduki ranking kesembilan dunia itu.
Koki Watanabe memadamkan sisa perjuangan kem negara yang digalas Aidil Sholeh dengan keputusan 22-20, 11-21, 3-21.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia tewas kepada Jepun buat kali pertama dalam empat pertemuan di pentas BATC.