Bayangan Pemain Baharu Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC memberi bayangan bahawa tiga pemain baharu bakal memperkuatkan pasukan itu.

Ini selepas pengurusan The Cats memuat naik gambar profil kad tiga pemain misteri di semua platform rasmi mereka.

Semakan pada gambar berkenaan menunjukkan ketiga-tiga pemain misteri itu beraksi di posisi berbeza iaitu pertahanan, tengah dan serangan.

Ini membuatkan penyokong berspekulasi tentang identiti tiga pemain yang akan menjadi rekrut baharu pasukan yang dibimbing Aidil Sharin Sahak itu.

Sebelum ini, Kuching City dikaitkan dengan beberapa pemain sejak tetingkap perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) dibuka pada 12 Jun lalu.

Antaranya pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid, pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Declan Lambert, tonggak Penang FC, Dylan Wenzel-Halls dan dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Park Jun-heong dan Ajdin Mujagic.

The Cats juga telah mengumumkan 12 orang pemain dikekalkan untuk musim 2026/27 setakat ini. Antaranya Haziq Nadzli, Ramadhan Saifullah Usman, Ariff Farhan Md Isa dan Gabriel Nistelrooy.