Gabriel Nistelrooy Antara 12 Pemain Kekal Di Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Gabriel Nistelrooy antara 12 pemain yang kekal bersama Kuching City FC untuk musim 2026/27.

Ini selepas pengurusan kelab mengumumkan senarai pemain yang dikekalkan untuk musim 2026/27. 12 nama telah diumumkan pengurusan The Cats setakat ini.

Selain Gabriel, Kuching City turut mengekalkan Haziq Nadzli, Ramadhan Saifullah Usman, Rodney Celvin Akwensivie, Alif Hassan dan Ariff Farhan Md Isa.

The Cats juga mengekalkan khidmat Shahril Saari, Wesley Azcang, Zharmien Ashraf, Diego Baggio dan Amir Amri Salleh. Bekas pemain kebangsaan, Nur Shamie Iszuan Amin kekal dalam perancangan pasukan itu selepas kembali dari tempoh pinjaman bersama Penang FC.

Pengurusan kelab tidak menyatakan sama ada Gabriel menyertai Kuching City secara perpindahan tetap atau kekal secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemilik nama Gabriel Nistelrooy Tamin itu pantas membalas kepercayaan Aidil Sharin Sahak bila diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama pada musim lalu.

Mampu beraksi sebagai penyerang atau pemain sayap, Gabriel merekodkan 19 penampilan, tiga gol dan tiga bantuan gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Kuching City kini sibuk mengenal pasti pemain yang dapat memperkuatkan cabaran pasukan itu untuk musim hadapan. Antara pemain yang dikaitkan dengan pasukan itu ialah Declan Lambert, Ajdin Mujagic dan Dylan Wenzel-Halls.