Bek tengah tinggi lampai dari Australia, James Donachie bakal berkelana ke Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan Donachie bakal menyertai pasukan Lembah Klang itu. Beliau menjangkakan perpindahan itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Kuala Lumpur City dijangka menandatangani pertahanan import kelahiran Australia, James Donachie bagi memperkuatkan pasukan harungi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027,” katanya di X.
Donachie, 33, memiliki pengalaman beraksi bukan saja di Australia tetapi juga di Korea Selatan dan India. Antara bekas kelab beliau ialah Central Coast Mariners (CCM), FC Goa, Jeonnam Dragons, Brisbane Roar, Melbourne Victory dan Sydney FC.
Jika semuanya berjalan lancar, Donachie berpotensi bergandingan dengan calon pemain Harimau Malaya, Giancarlo Gallifuoco. Kelebihan ketinggian 1.93 meter dijangka menjadi aset bukan saja semasa bertahan tetapi juga untuk menyerang.
Lebih menarik, Donachie berpeluang menentang bekas rakan sepasukan dari CCM, Brad Tapp. Tapp pernah beraksi bersama beliau pada musim 2025/26 untuk bekas juara Piala AFC itu.
Selepas tidak lagi bersama kelab A-League itu, pemain berusia 25 tahun itu melengkapkan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).