Bekas Arkitek JDT Bawa Haluan Ke Ratchaburi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Roque Mesa memilih membawa haluan ke kelab Thailand, Ratchaburi.

Perpindahan pemain tengah Sepanyol itu diumumkan Ratchaburi menerusi video sesi latihan pasukan itu pada 23 Februari lalu.

Ratchaburi memaklumkan sesi tersebut membabitkan semua pemain termasuk seorang pemain baharu pasukan itu. Ini membawa kepada pengenalan Mesa sebagai pemain baharu The Dragons.

“Saya Roque Mesa dan saya teruja berada di sini bersama Ratchaburi. Saya tak sabar untuk bermain dan berjuang untuk pasukan,” katanya.

Mesa menyertai Ratchaburi sebagai ejen bebas selepas meninggalkan JDT pada akhir musim 2024/25.

Meskipun hanya sempat membuat satu penampilan, bekas pemain tengah Swansea City itu menghargai pengalaman bersama Harimau Selatan.

Mesa menjadi bekas pemain Liga Malaysia (Liga M) terbaru menyertai Ratchaburi. Sebelum ini, The Dragons turut mendapatkan pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting dan bekas pemain pertahanan Selangor FC, Kevin Deeromram.

Khidmat Mesa dijangka ditagih untuk membantu Ratchaburi mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).