Bekas pemain tengah Arsenal, Thomas Partey bakal terlepas aksi pertama Ghana dalam Piala Dunia 2026.
BBC Sport melaporkan situasi itu berlaku kerana Kanada menyekat pemain tengah berusia 32 tahun itu masuk atas alasan alasan keselamatan.
Ini dilihat ada kaitan dengan tujuh pertuduhan rogol dan satu tuduhan serangan seksual yang dihadapi Partey membabitkan empat wanita berbeza antara 2020 hingga 2022. Beliau mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu dan bakal dibicarakan pada tahun hadapan.
Situasi ini menyebabkan Partey tidak dapat berlepas ke Kanada dari kem latihan Ghana di Boston, Amerika Syarikat.
Sebelum ini, jurulatih Ghana, Carlos Quieroz memaklumkan beliau akan tetap memilih pemain tengah Villareal itu selagi mana Partey belum disabitkan bersalah di mahkamah.
“Jika pemain (Partey) dengan saya, jawapan saya jelas. Saya tidak mempunyai sebarang komen tentang keputusan saya.
“Beliau di sini, jadi kita nak cakap apa. Ini bukan untuk saya atau anda membuat penghakiman,” katanya.
Situasi membabitkan Partey antara kontroversi terbaru yang membelenggu Piala Dunia 2026 membabitkan pihak berkuasa imigresen tuan rumah iaitu Amerika Syarikat (US), Mexico dan Kanada.
Sebelum ini, penyerang Iraq, Aymen Hussain menyuarakan rasa tidak puas hati kerana ditahan selama tujuh jam di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago sebelum dapat menyertai rombongan pasukan itu.
Pengadil Somalia, Omar Artan pula dihalang masuk ke US meskipun memiliki pasport diplomatik negara itu dan berstatus pengadil terbaik Afrika 2025.
Ghana dijadual bertemu naib juara Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2024, England dalam aksi pertama Kumpulan L pada 23 Jun.