Bekas jurulatih Harimau Malaya, Claude Le Roy membidas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino kerana mahu kekal berkuasa untuk satu penggal lagi.
Kritikan itu dibuat jurulatih veteran Perancis itu lebih-lebih lagi dengan pelbagai kontroversi yang melanda Piala Dunia 2026 ketika ini.
Antara kontroversi yang timbul ialah pelaksanaan rehat hidrasi, kontroversi penangguhan hukuman penggantungan Folarin Balogun dan mutu pengadilan sepanjang kejohanan.
Le Roy yang pernah membimbing skuad negara dari 1994 hingga 1995 menganggap Infantino individu yang merbahaya kepada sukan bola sepak dan memberi nama buruk kepada sukan berkenaan.
“Beliau (Infantino) mempunyai satu ciri iaitu bertutur dalam pelbagai bahasa. Tetapi beliau seorang yang bodoh, berbahaya untuk bola sepak dan tidak menawarkan apa-apa yang positif. Beliau telah menjadikan sukan ini sangat serupa dengan semua orang.”
“Apabila anda mendengar orang bercakap tentang bola sepak hari ini, di jalanan atau dalam kalangan rakan-rakan, mereka mengatakan ia dipenuhi dengan kepentingan dan manipulasi (sesetengah pihak), keputusan kad boleh dibatalkan atau keputusan boleh dijual hanya dengan satu panggilan, seolah-olah tiada jawatankuasa disiplin.”
“Saya terkejut dengan imej yang dipantulkan (FIFA) dalam bola sepak profesional di seluruh dunia hari ini,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal Afrika, Micky Jnr.
Meskipun kini berusia 78 tahun, Le Roy memiliki pengalaman luas dalam dunia bola sepak. Antara pasukan yang pernah dilatih beliau selain Malaysia ialah Togo, Cameroon, Senegal, Strasbourg, Oman dan Syria.
Le Roy kini memikul tugas sebagai jurulatih Congo. Ini kali kedua beliau memimpin pasukan itu selepas melakukannya dari 2013 hingga 2015.