FIFA Tarik Balik Hukuman Penyerang USA
MakanBola
FIFA

FIFA mengesahkan bintang USA, Folarin Balogun dibenarkan untuk tampil dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 berdepan Belgium setelah penggantungan satu perlawanan yang dikenakan ke atasnya ditarik balik.

Dalam kenyataan rasmi badan induk itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan untuk menggantung pelaksanaan hukuman kad merah tersebut, sekali gus membolehkan Balogun kekal bersama skuad Amerika Syarikat untuk perlawanan penting pada Isnin.

Balogun sebelum ini dilayangkan kad merah ketika membantu Amerika Syarikat menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 dalam aksi pusingan 32 terbaik selepas insiden kekasaran yang disemak menerusi VAR.

Namun keputusan tersebut mencetuskan perdebatan apabila insiden berkenaan dilihat sebagai perlanggaran yang tidak disengajakan ketika perebutan bola antara kedua-dua pemain.

Menurut FIFA dalam artikel rasmi kejohanan, keputusan itu dibuat di bawah Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA yang membolehkan sesuatu hukuman disiplin digantung tertakluk kepada syarat tertentu.

Ia menyaksikan penggantungan tersebut ditukar kepada tempoh percubaan selama 12 bulan. Sekiranya Balogun melakukan kesalahan sama dalam tempoh itu, hukuman asal boleh dikuatkuasakan semula bersama sebarang tindakan baharu.

“FIFA mengesahkan bahawa penggantungan satu perlawanan ke atas Folarin Balogun telah digantung, sekali gus membolehkannya beraksi menentang Belgium,” memetik kenyataan rasmi badan itu.

Kehadiran semula penyerang utama itu pastinya memberi suntikan besar buat Amerika Syarikat yang memburu slot ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002.