Peledak Amerika Syarikat (US), Folarin Balogun kini senasib dengan legenda Perancis, Zinedine Zidane.
The Athletic melaporkan beliau kini menjadi pemain keempat yang menjaringkan gol dan dibuang padang dalam sejarah Piala Dunia. Selain mereka, dua legenda Brazil, Ronaldinho dan Garrincha turut tersenarai.
Pada awalnya, Balogun menceriakan kem US ketika menentang Bosnia-Herzegovina dengan meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-45.
Walau bagaimanapun, penyerang AS Monaco itu bernasib malang apabila dibuang padang 19 minit selepas itu. Balogun dilayangkan kad merah selepas semakan VAR mendapati beliau membuat terjahan keras ke atas Tarek Muharemovic.
Gol Malik Tillmann memastikan US menempah tiket pusingan 16 pasukan terbaik dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan dari rantau Balkan itu.
Meskipun begitu, Balogun terpaksa melupakan perlawanan tersebut kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan. Di samping itu, kesalahan kad merah berkenaan tidak boleh dirayu.
Insiden itu dianggap kecil jika dibandingkan apa yang dilakukan Zidane dalam final edisi 2006. Selepas menjaringkan gol buat Perancis, legenda Real Madrid itu kemudiannya menanduk bek tengah Itali, Marco Materazzi.
Ini selepas Materazzi didakwa menghina ahli keluarga wanita Zidane sebelum insiden itu berlaku. Ronaldinho pula dibuang padang dalam aksi suku akhir edisi 2002.
Legenda Barcelona itu terpaksa menjalani penggantungan perlawanan sebelum dapat beraksi di pentas final edisi sama. Garrincha pula bernasib malang apabila dibuang padang dalam aksi separuh akhir edisi 1962.