Bekas Jurulatih Harimau Malaya Gondol Trofi Kedua Di Australia
MakanBola
MNT/NJFC

Nama bekas jurulatih Harimau Malaya, Mark Milligan terus menjadi sebutan dalam arena bola sepak Australia.

Terbaru, beliau membantu Newcastle Jets meraih trofi kedua dalam musim 2025/26 iaitu trofi A-League Premiership.

Ini selepas pasukan itu kekal menerajui carta A-League dengan 45 mata dan berbaki satu perlawanan.

Trofi tersebut menjadi milik The Jets selepas pencabar terdekat, Auckland FC tumbang 1-0 di tangan Central Coast Mariners (CCM). Ini menyebabkan Auckland tidak dapat memintas kerana hanya memiliki 41 mata.

Trofi Premiership ini bukan saja yang pertama pernah diraih Newcastle Jets dalam sejarah kelab itu. Malah, ini trofi kedua Milligan dalam kariernya sebagai jurulatih.

Sebelum ini, legenda Australia itu turut membantu The Jets menjuarai Australian Cup dan layak secara merit ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan.

Milligan berpeluang menambah satu lagi trofi bersama Newcastle Jets apabila enam pasukan terbaik A-League akan berentap untuk A-League Championship. Ini dilihat sebagai penentu siapa pasukan terbaik Australia musim ini.

Jika Milligan berjaya membantu The Jets meraih trofi tersebut, ini akan mengakhiri kemarau trofi A-League Championship kelab itu sejak tahun 2008.

Pencapaian cemerlang jurulatih berusia 40 tahun itu turut menyebabkan namanya tersenarai antara 23 jurulatih muda terbaik dunia ketika ini.

The Jets berpeluang menutup kempen A-League dengan kemenangan apabila bertemu dengan CCM pada 25 April ini.