Bekas jurulatih Malaysia, Mark Milligan terus menjadi sebutan media antarabangsa susulan pencapaian cemerlang beliau bersama Newcastle Jets.
Kejayaan Milligan membimbing The Jets layak ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan muncul juara Australian Cup menyaksikan beliau tersenarai dalam senarai 23 jurulatih muda terbaik di dunia.
Senarai tersebut dibuat World Soccer Magazine seperti yang dilaporkan portal Football 360. Senarai tersebut dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang jurulatih muda di seluruh dunia pada musim ini.
Selain Milligan, turut tersenarai ialah legenda Barcelona, Rafael Marquez dan dua bekas bintang Chelsea, Cesc Fabregas dan Filipe Luis.
Fabregas dan Luis cemerlang bersama pasukan masing-masing, Como dan Flamengo. Marquez pula dilihat sebagai figura membantu Mexico meraih dua trofi bersama jurulatih veteran, Javier Aguirre.
Selain trio ini, senarai sama turut mengandungi legenda Amerika Syarikat, Michael Bradley, bekas pemain tengah Middlesbrough, Didier Digard dan bekas jurulatih Hearts, Ian Cathro.
Milligan menyertai The Jets selepas beberapa bulan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Newcastle Jets berpeluang meraih trofi Premiership buat kali pertama dalam sejarah mereka dengan saingan A-League kini berbaki dua perlawanan. Mereka akan menentang Melbourne Victory pada 17 April ini.