Bekas Jurulatih Sri Pahang Kini Bimbing Bangladesh
MakanBola
Bangladesh FF

Sentuhan bekas jurulatih Sri Pahang FC, Thomas Dooley menjadi pilihan Bangladesh sebagai jurulatih baharu mereka.

Pelantikan jurulatih Amerika Syarikat (AS) berusia 65 tahun itu diumumkan Persekutuan Bola Sepak Bangladesh (BFF) menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Kami melantik jurulatih Jerman-Amerika, Thomas Dooley, sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Lelaki Bangladesh yang baharu!

“Dengan 43 tahun pengalaman elit dalam bola sepak global—beliau bermain untuk Amerika Syarikat termasuk bermain dalam Piala Dunia 1994 dan menjadi Kapten di Piala Dunia FIFA 1998.

“Seterusnya ialah (beliau menjadi) penolong jurulatih skuad kebangsaan AS di bawah kendalian Jurgen Klinssman dari 2011 hingga 2014,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Bangladesh berharap sentuhan Dooley dapat membantu pasukan itu tampil lebih cemerlang di peringkat antarabangsa. Ini termasuk memperbaiki ranking semasa FIFA untuk pasukan yang diberi jolokan Bengal Tigers itu.

Dooley dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya dari Sepanyol, Javier Cabrera. Selain BFF melantik beliau, ramai jurulatih dilaporkan berminat mengisi kerusi panas berkenaan.

Antaranya dua bekas jurulatih Malaysia, Jorvan Vieira dan Nelo Vingada, bekas jurulatih Wales, Chris Coleman dan bekas jurulatih KV Kortrijk, Bernd Stock.

Meskipun baru tiba di Bangladesh, Dooley dilihat mula mengenali suasana bola sepak Bangladesh. Ini selepas beliau dan Presiden BFF, Tabith Awal menonton perlawanan Liga Futsal Bangladesh baru-baru ini.

Turut sama hadir menonton aksi berkenaan ialah Pengarah Teknikal BFF, A.K.M. Saiful Bari Titu dan Setiausaha Agung BFF, Emran Hossain Tushar.

Dooley dijangka membawa masuk seorang jurulatih luar negara sebagai pembantu beliau. Ini bukan perkara baru kerana bekas jurulatih Guyana itu pernah dibantu Christophe Gamel semasa membimbing Sri Pahang.