Bekas Pemain Kelantan Sertai Kelab Vietnam

Alie Sesay Khanh Hoa Bekas Pemain Kelantan Sertai Kelab Vietnam
Khanh Hoa
Azim Noor @mohdazim45
10:30pm 15/10/2023

Bekas pemain pertahanan Kelantan FC, Alie Sesay sah menyertai pasukan V. League 1, Khanh Hoa FC.

Perpindahan bek tengah dari Sierra Leone itu diumumkan The Blue Swallows menerusi satu hantaran di media sosial mereka baru-baru ini.

Sesay menyertai Khanh Hoa secara percuma tanpa membuat satu penampilan bersama The Red Warriors.

Bekas pemain pertahanan Leicester City itu menyertai Kelantan pada hari terakhir tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) pada 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kegagalan pengurusan skuad Kijang mendaftarkan beliau bersama beberapa pemain import lain selepas tarikh berkenaan mengakibatkan mereka tidak dapat beraksi dalam saingan Liga M.

Atas sebab inilah, graduan akademi The Foxes memilih meninggalkan Kelantan dan berkelana di bumi Vietnam.

Selain Leicester City dan Kelantan, Sesay juga pernah beraksi untuk Lee Man (Hong Kong), Persebaya Surabaya (Indonesia) dan Zira FC (Azerbaijan).

Bek tengah berusia 29 tahun itu diturunkan dalam aksi persahabatan terakhir Khanh Hoa menentang Quy Nhon Binh Dinh pada 12 Oktober lalu yang berkesudahan seri 1-1.

Sesay dijangka diturunkan untuk aksi pertama V. League 1 The Blue Swallows menentang Ho Chi Minh City pada 22 Oktober ini.