Seorang lagi pemain import dilaporkan bakal menyertai pasukan Pantai Timur, Terengganu FC.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan bekas pemain sayap Sukhotai, Mateus Gustavo bakal menyertai pasukan yang diberi jolokan Peteh itu.
“Dari Thailand ke Malaysia, difahamkan Mateus Gustavo bekas pemain sayap Sukthothai FC sertai Terengganu,” katanya di X.
Sepanjang berada di Thailand, beliau merekodkan 30 penampilan, satu gol dan enam bantuan gol buat Sukhotai dalam semua kejohanan.
Kehadiran Gustavo yang turut dikenali sebagai Mateusinho dijangka menambah pilihan buat Nafuzi Zain di bahagian sayap. Ini ditambah dengan beberapa pemain sayap telah meninggalkan Peteh.
Pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid berhijrah secara pinjaman ke Negeri Sembilan FC. Pemain sayap Tajikistan, Shervoni Mabatshoev pula kembali ke kampung halaman bersama rakan senegara, Ehson Panjshanbe.
Khala’if Naskam dan Engku Nur Shakir Engku Yacob pula masing-masing menyertai Penang FC dan Star City FC.
Sekiranya semua berjalan lancar, Gustavo bakal menjadi pemain import terbaru Terengganu. Beliau menyertai Pape Diakite, Manuel Ott, Victor Ruiz, Habib Haroon dan Ngweni Ndasi yang turut menyertai pasukan itu musim ini.
Selain mereka, Terengganu turut mengekalkan khidmat penyerang Curacao, Gervane Kastaneer. Selepas membantu negaranya beraksi di Piala Dunia, bekas penyerang Persib Bandung itu kembali menyertai pasukan baru-baru ini.