‘Orang Besi’ Cameroon, Ngweni Ndasi Perkukuh Kubu Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Bekas pertahanan Al-Talaba SC, Ngweni Ndasi menjadi tonggak import terbaru menyertai Terengganu FC.

Perpindahan pemain tengah berusia 32 tahun itu diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu hantaran video di semua platform rasmi pasukan berkenaan.

“Terengganu Football Club (Terengganu FC) terus memperkukuhkan barisan pertahanan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 apabila mengesahkan kehadiran pemain pertahanan import, Denis Ngweni Kadiang, yang telah menandatangani kontrak selama satu musim bersama pasukan.”

“Pemain yang sebelum ini beraksi bersama Al-Talaba SC dalam saingan Iraq Stars League itu dipilih sebagai sebahagian daripada perancangan kelab untuk memperkukuhkan benteng pertahanan dengan kehadiran pemain yang memiliki pengalaman serta kualiti di peringkat kompetitif.”

“Seluruh warga Terengganu FC mengalu-alukan kehadiran Denis Ngweni Kadiang ke dalam keluarga Terengganu FC dan berharap beliau dapat memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh kontraknya dalam membantu pasukan mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi musim 2026/2027,” kata Terengganu dalam satu kenyataan.

Bekas pemain Al-Talaba SC itu dijangka bakal membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan Terengganu bersama-sama kapten pasukan, Shahrul Nizam.

Ngweni dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas tonggak import dari Brazil, Diego Landis.

Ndasi menyertai Victor Ruiz, Romel Morales, Faiz Mazlan, Habib Haroon, Elvis Kamsoba, Haziq Kutty Abba, Danial Amier Norhisham dan Manuel Ott sebagai rekrut baharu Terengganu.