Penyerang naturalisasi sensasi Malaysia, Romel Morales akhirnya menemui destinasi untuk mengharungi saingan liga baharu selepas disahkan menyertai Terengganu FC pada Selasa.
Perpindahan Morales ke Terengganu telah diumumkan pihak kelab melalui satu kenyataan yang disiarkan di semua laman sosial rasmi pasukan.
“Selamat Datang Romel Morales,” kata Terengganu dalam satu kenyataan di laman X.
Bekas pemain JDT & KL City itu dijangka bakal membentuk gandingan mantap di bahagian serangan Terengganu bersama-sama penyerang kebangsaan Curacao, Gervane Kastaneer.
Nama Romel Morales di pentas Liga Malaysia sememangnya tidak asing lagi. Penyerang kelahiran Colombia yang kini mewakili Harimau Malaya itu telah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak 2018.
Morales memulakan kariernya bersama PKNS sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2020. Setahun kemudian, beliau menyertai KL City dan memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia 2021.
Sejak menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2024, Morales terus mempamerkan prestasi cemerlang bersama Harimau Selatan. Setakat musim lalu, beliau telah membuat 40 penampilan, menjaringkan 22 gol serta merekodkan 4 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.