Bekas Trio Sri Pahang Dilaporkan Menuju Ke KL City
MakanBola
Johor Southern Tigers

Tiga bekas pemain Sri Pahang FC dilaporkan bakal kembali bergandingan di Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah Baqiuddin Shamsudin, Saiful Jamaluddin dan Ibrahim Manusi. Ini kerana khabar angin bertiup mengatakan ketiga-tiga pemain ini akan kembali bergandingan di Lembah Klang.

Khabar ini bermula dengan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. Avineshwaran memaklumkan Ibrahim antara tiga pemain yang menjadi sasaran KL City untuk musim 2026/27.

Ini ditambah dengan kenyataan Johor Darul Ta’zim (JDT) bahawa pemain tengah berusia 24 tahun itu akan meninggalkan kelab secara pinjaman.

Ini disusuli dengan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Fadhirul memaklumkan Baqiuddin dan Saiful akan berkelana ke Lembah Klang selepas meninggalkan Terengganu FC.

“Dua bekas pemain Terengganu FC, Baqiuddin Shamsudin & Saiful Jamaluddin dijangka akan memperkuatkan skuad Kuala Lumpur City FC musim 2026/2027,” katanya di X.

Sekiranya semua berjalan lancar, ketiga-tiga pemain dilaporkan akan kembali dilatih legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh. Ini kerana Dollah dilaporkan calon utama untuk memikul tugas sebagai jurulatih baharu KL City.

Selain trio berkenaan, KL City juga dilaporkan berminat mendapatkan seorang lagi bekas pemain Sri Pahang, Sergio Aguero dan pemain sayap, S. Kumaahran.