Beraksi Di Sukan Olimpik 2028? Ini Jawapan Mudah Azizulhasni Awang
UltraSukan
MSN Malaysia

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berseloroh apabila ditanya sama ada beliau ingin beraksi di Sukan Olimpik 2028.

“Itu kena temu bual isteri saya,” katanya selepas meraikan kejayaan meraih pingat emas keirin Piala Dunia Trek UCI 2026 di Nilai baru-baru ini.

Beliau kemudiannya memaklumkan fokus utama beliau buat masa ini ialah Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.

“Fokus saya masih lagi pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Tapi kalau anda semua nak saya langkau lebih jauh, itu kena temu bual isteri saya nanti,” katanya sambil ketawa.

Apabila ditanya tentang subjek tersebut, isteri Azizulhasni, Datin Athiah Ilyana Abd Samat memaklumkan suaminya ingin fokus kepada dua temasya itu buat masa ini.

Pada masa sama, Athiah melihat Azizulhasni masih ada masa untuk menimbang Sukan Olimpik 2028 dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan.

“Kita tengok macam mana sebab lagi dua tahun kan (Sukan Olimpik), doakan. Dan macam suami saya selalu cakap, kena selesaikan satu perkara dulu dalam satu masa.

“Jadi, sekarang fokus utama dia Sukan Komanwel dengan Sukan Asia. Tengok macam mana selepas itu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.

Selain pingat emas acara keirin, Azizulhasni turut meraih pingat gangsa acara pecut individu dalam kejohanan sama.