Pengendali Selangor, Nidzam Jamil mengakui kesilapan kecil menjadi punca kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu.
Dalam aksi final tersebut, Selangor terpaksa akur tumpas di tangan juara bertahan, JDT dengan keputusan 6-1 hasil hatrik daripada pemain tengah Harimau Selatan, Juan Muniz.
Menurut Nidzam, kekalahan ini bagaikan satu pengajaran buat pasukan kendaliannya supaya lebih bekerja keras lagi bagi memperbaiki kelemahan dan kekal bersedia di masa akan datang.
”Tahniah buat JDT, saya rasa ini adalah refleks untuk kita juga. Betapa kita perlu lebih bekerja keras selepas ini, kena betulkan banyak perkara dan bersedia dengan lebih baik,” ujar Nidzam setelah perlawanan.
Tambahnya lagi, kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan anak-anak buahnya dilihat menjadi faktor kekalahan ini terutamanya ketika berdepan pasukan matang seperti JDT.
”Kita rasa (kelemahan Selangor adalah) perkara-perkara kecil yang mungkin jika kita lawan dengan pasukan yang kurang matang, mungkin kita boleh kawal.”
“Tetapi (berdepan) dengan pasukan yang matang dan bermain di perlawanan akhir setiap tahun sejak 10 tahun lalu, kita tak boleh ada kesilapan-kesilapan kecil.”
”Di saat kita melakukan sedikit kesilapan, mereka (lawan) akan menghukum kita,” tambah pengendali berusia 44 tahun itu.
Nidzam turut berharap Selangor mampu kekal konsisten dengan berjaya melayakkan diri di setiap perlawanan akhir agar mampu berada di tahap lebih baik suatu hari nanti.
”Dan saya ulang, untuk menjadi sebaik pasukan mereka atau keluar dari zon sekarang, saya fikir kita perlu sentiasa ada di perlawanan akhir.
Ini merupakan kejuaraan Piala FA ke-4 buat skuad Harimau Selatan yang turut mencipta sejarah muncul pasukan pertama menjulang piala berprestij ini tiga kali berturut-turut.
Selepas ini, saingan Liga Malaysia akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada kalendar FIFA dengan skuad negara bertemu Filipina di kejohanan Pestabola Merdeka pada 4 September.