Bergson Buat Peter Cklamovski ‘Pening Kepala’
MakanBola
JST/Malaysia NT

Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva memberikan satu lagi ‘permasalahan’ kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Hal ini selepas beberapa laporan mendakwa bahawa peledak kelahiran Brazil itu kini sudah cukup tempoh untuk mewakili pasukan kebangsaan.

“Bergson da Silva, tampak sudah melengkapkan syarat mendapat status naturalisasi iaitu lima tahun di Malaysia selepas menyertai JDT sejak 3 Feb 2021,” ujar laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Bergson yang tiba pada tahun 2021 kini sudah pun bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super Malaysia pada tahun 2025, mengatasi rekod yang dipegang oleh Indra Putra Mahyuddin. 

Malaysia kini berada pada prestasi terbaik tahun 2025 selepas menang kesemua lima perlawanan Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dan menduduki tangga teratas kumpulan.

Sekiranya Bergson memperkuat Harimau Malaya, Malaysia bakal memiliki kira-kira lima penyerang berkualiti tinggi untuk merebut posisi nombor sembilan negara.

Pada aksi Piala Asia 2023, Malaysia mempertaruhkan gandingan dua naturalisasi negara Romel Morales dan Paulo Josue yang kekal mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan ketika ini.

Berdasarkan rekod, Romel (28), berehat panjang susulan kecederaan sementara Paulo Josue (37) sudah pun merekodkan lima jaringan pada saingan liga musim ini.

Malaysia turut memiliki wajah segar yang menjadi sandaran utama ketika ini iaitu Rodrigo Holgado (31) dan Joao Figueiredo (30) termasuklah ketika membenam cabaran Vietnam dengan keputusan 4-0.

Kehadiran Bergson yang sudah pun meledak 17 gol di Liga Super 2025-26 bakal memberikan tonik tambahan namun memerlukan kelulusan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ujian paling dekat buat Malaysia adalah aksi menentang Vietnam pada 31 Mac 2026 di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.