Pemain sayap Kawasaki Frontale, Yu Kobayashi menganggap aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam semalam sebagai satu perlawanan yang sukar.
Mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-69 permainan, pemain berusia 36 tahun ini gembira dapat membantu pasukan mengutip tiga mata penting.
Beliau juga teruja dapat menjaringkan gol cantik apabila bola yang ditepis Syihan disudahkan Kobayashi dengan satu sepakan gunting memastikan jaringan keempat buat Kawasaki Frontale.
“Saya gembira saya dapat bertindak dan menjaringkan gol cantik. Perlawanan semalam adalah sukar tapi ini menunjukkan apa yang saya boleh lakukan untuk mendapatkan keputusan sebegini.”
Pemain veteran Jepun ini yakin dengan kemampuan pasukannya untuk menjuarai Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini. Beliau mahu skuad kendalian Toru Oniki ini menunjukkan kekuatan sebenar sebagai sebuah pasukan jaguh di Asia.
“Saya mahu memenangi ACL dan menunjukkan kekuatan (Kawasaki) Frontale kepada Asia,” ujarnya selepas tamat perlawanan.
JDT menamatkan cabaran saingan ACL musim ini selepas tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale. Kawasaki kini mengungguli kedudukan pertama dalam saingan Kumpulan I sekaligus bakal mengesahkan slot ke peringkat seterusnya sebagai juara kumpulan.