Bintang muda Arsenal, Bukayo Saka mencuri tumpuan penyokong beberapa hari lepas kerana usaha murninya membantu mangsa gempa bumi Maghribi.
Saka bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan BigShoe mendermakan 50 buah rumah kontena sebagai tempat perlindungan buat 255 orang penduduk di sebuah perkampungan kecil di Taroundant.
Wilayah Taroundant, Maghribi merupakan antara wilayah yang terkesan dengan bencana alam tersebut.
Gempa bumi yang berukuran 7.2 skala Richter yang melanda Maghribi pada September lalu menyaksikan 3,000 orang terbunuh. Di kawasan perkampungan yang dinyatakan, 42 orang dilaporkan terbunuh.
Justeru, menerusi derma 50 buah rumah kontena ini, ia diharap dapat membantu penduduk yang terjejas membina kembali kehidupan mereka.
“Saya terkejut bila mendengar (berita buruk berkenaan) gempa bumi di Maghribi. Tapi dalam detik satu saat, saya tahu saya mahu membantu dan kita melihat apa yang kita boleh lakukan untuk membantu keluarga yang terjejas.
“Kita menemui cara untuk membantu dengan kadar yang cepat dan kita dapat menyediakan tempat berlindung dan memberi mereka harapan dan keselesaan buat penduduk yang kehilangan segala (harta benda mereka).
“Dalam situasi di mana orang berjuang untuk hidup, kehilangan tempat tinggal atau orang tersayang, anda akan sedar betapa bertuahnya situasi yang dilalui (anda sekarang),” kata Saka seperti dilaporkan Daily Mail.
Setiap kontena dilengkapi dengan tempat tidur, dapur dan bilik air. Selain itu, tingkap kontena turut dipasang dengan gril bagi melindungi penghuni daripada jatuh sekiranya berlaku lagi gempa bumi di situ.
Ini bukan kali pertama kerja kebajikan Saka menyentuh hati ramai pihak. Planet Football melaporkan BigShoe dan Saka berkolaborasi untuk menyediakan dana pembedahan buat 120 kanak-kanak Nigeria yang kurang bernasib baik.
Ini sebahagian daripada inisiatif beliau selepas mendapat panggilan menyertai skuad England ke Piala Dunia 2022 di Qatar.