Piala Dunia
France 24 English
Advertisements

Croatia mengikat Belgium 0-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F sekaligus mengiringi Maghribi layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022. Keputusan tersebut turut menyingkirkan The Red Devils dari kejohanan ini.

Babak pertama menyaksikan pemain sayap Spurs, Ivan Perisic mengancam gawang The Red Devils menerusi satu percubaan jauh pada minit pertama. Bagaimanapun, percubaannya itu langsung tidak mencemaskan penjaga gol Thibaut Courtois kerana ia tersasar ke tepi gol.

Tersentak, Belgium mengasak kubu Croatia menerusi percubaan Yannick Carrasco pada minit ke-12. Carrasco yang mendapat hantaran penyerang veteran Dries Mertens berjaya dinafikan penjaga gol Dominik Livakovic. Dua minit kemudian, giliran Mertens pula mencuba nasib tetapi sepakannya itu langsung tidak mengenai sasaran.

Advertisements

Seminit selepas itu, Croatia menyangka mereka telah mendapat sepakan penalti selepas Carrasco didapati menjatuhkan pemain tengah Inter Milan, Marcelo Brozovic dalam kotak penalti. Bagaimanapun, keputusan tersebut kemudiannya dibatalkan selepas VAR mendapati pemain Croatia ofsaid sebelum keputusan penalti diberi oleh pengadil perlawanan Anthony Taylor.

Perisic terus menggugat pertahanan Belgium menerusi satu gerakan yang diatur Brozovic. Selepas percubaan awalnya disekat pertahanan The Red Devils, pemain sayap Spurs itu menghantar bola kepada Borna Sosa sebelum pemain VfB Stuttgart itu melorongkan bola kepada Marko Livaja. Bagaimanapun, tandukan Livaja pada minit ke-33 tidak menepati sasaran.

Pada minit akhir babak pertama, Kevin de Bruyne melakukan hantaran jauh terhadap Mertens tetapi berjaya disekat oleh Livakovic. Susulan itu, Croatia melancarkan serangan balas menerusi percubaan jarak jauh Sosa tetapi ia tidak mengenai sasaran. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Belgium memasukkan Romelu Lukaku bagi memecah kebuntuan. Penyerang Inter Milan itu mula menguji Livakovic menerusi satu tandukan pada minit ke-49 selepas menerima hantaran de Bruyne tetapi bola tandukannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Dinamo Zagreb itu. Seminit selepas itu, giliran Mateo Kovacic pula menguji Courtois tetapi rembatan kencangnya berjaya dinafikan penjaga gol Real Madrid itu.

Croatia terus bikin Courtois bekerja keras mengawal gawang Belgium. Ia dimulakan menerusi percubaan Brozovic selepas mendapat hantaran Kovacic pada minit ke-55 tetapi mudah dinafikan bekas penjaga gol Chelsea itu. Kemudian, kapten Luka Modric pula mencuba menerusi percubaan jarak jauh seminit selepas itu tetapi sepakan kencang bekas pemain Spurs itu turut dinafikan Courtois.

Belgium Croatia Piala Dunia 2022 France 24 English 1 Bintang Dunia Belgium Gagal Mara Ke Pusingan Kalah Mati Piala Dunia
Romelu Lukaku tak percaya percubaannya pada minit ke-60 dinafikan tiang gol. Gambar: France 24 English

Belgium terus kempunan mendapatkan gol menerusi dua percubaan pada minit ke-60. Cubaan Carrasco berjaya dinafikan Livakovic tetapi cubaan susulan Lukaku ke arah gol Croatia pula dinafikan oleh tiang gol. Bekas penyerang Manchester United itu kemudiannya tak menyangka tandukannya pada minit ke-63 hanya melepasi palang gol.

Advertisements

Croatia terus mencipta peluang menembusi gawang Courtois. Pemain sayap Bruno Petkovic mencipta satu gerakan menarik pada minit ke-68 dengan melorongkan bola kepada Modric. Pemain tengah Real Madrid itu kemudian membuat satu lagi percubaan jarak jauh ke arah gawang Belgium tetapi berjaya ditangkap Courtois.

Belgium seakan ketandusan idea bagaimana hendak menembusi gawang Livakovic. Dengan perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Croatia lebih banyak mendominasi bola. Lukaku terus mengecewakan penyokong Belgium apabila gagal menolak bola sepakan Thomas Meunier ke arah gol Croatia pada minit ke-87.

Penyerang Inter Milan itu kemudiannya mendapat peluang keemasan untuk membantu Belgium layak menerusi tandukan pada minit ke-89. Bagaimanapun, cubaan Lukaku berjaya diselamatkan Livakovic daripada melintasi garisan gol Croatia. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Croatia layak ke pusingan kedua dan Belgium pula tersingkir dari Piala Dunia.

Advertisements

Croatia mengiringi Maghribi ke pusingan kalah mati susulan kemenangan Singa Atlas ke atas Kanada dan bakal bertemu juara Kumpulan F bagi menentukan pasukan mana layak ke suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram