Johor Darul Ta’zim (JDT) sah menandatangani pemain tengah kebangsaan Slovenia, Dejan Petrovic menjelang saingan Liga Malaysia 2026-2027.
Ketibaan Dejan Petrovic ini diumumkan pihak pengurusan JDT menerusi sebuah hantaran di laman media sosial yang memperkenalkan tonggak berusia 28 tahun ini sebagai rekrut kedua pasukan Harimau Selatan musim ini.
Kelibat Dejan Petrovic bersama jersi JDT bernombor 21 memberi petanda nombor jersi yang beliau gunakan bersama Juara Liga Super 12 kali ini, selepas mengharungi musim luar biasa, memenangi dua kejuaraan di Liga Croatia musim lalu.
“Baru tahun lalu, beliau memenangi dua kejuaraan utama di Croatia dan kini Dejan Petrovic menyertai sebuah lagi pasukan juara,” umum JDT.
Sebagai rekod, HNK Rijeka merupakan pasukan terakhir Dejan Petrovic sebelum kontraknya tamat pada 30 Jun lalu dan beliau difahamkan lebih tertarik bagi menyertai JDT berbanding menerima tawaran daripada dua kelab di Eropah.
Statistik musim lalu menyaksikan Dejan Petrovic bermain sebanyak 32 kali bersama HNK Rijeka, dan berhasil menjaringkan satu gol selain melakukan dua bantuan jaringan untuk membantu pasukannya meraih dua kejuaraan di sana.
Kelibat Dejan Petrovic juga tidak asing lagi di pentas antarabangsa selepas beliau berjaya mengumpul 13 kaps bersama pasukan kebangsaan Slovenia dengan kali terakhir beliau tampil semasa aksi Kelayakan Piala Dunia zon Eropah pada November lalu.