Media Eropah Lapor JDT ‘Ikat’ Bintang Slovenia 4 Tahun
MakanBola
JST/NZS_SI

Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan bakal merekrut tonggak kebangsaan Slovenia, Dejan Petrovic, dengan kontrak selama 4 tahun menurut laporan media dari Eropah.

Selepas mengharungi satu lagi musim yang gemilang di pentas domestik dan antarabangsa, JDT dilaporkan masih berusaha untuk menambah baik pasukan dengan membawa masuk pemain-pemain baharu yang berkualiti tinggi.

Urusan perpindahan pemain tampaknya sudah mula dijalankan oleh pihak pengurusan pasukan Harimau Selatan ini ketika mana tempoh pendaftaran pertama bagi para pemain kini telah pun dibuka pada 12 Jun lalu hingga 3 September 2026.

Khabar angin terkini melibatkan pasukan JDT mula bertiup kencang apabila pemain tengah kebangsaan Slovenia, Dejan Petrovic dikhabarkan sudah pun menandatangani kontrak bagi memperkuat juara Liga Super 12 kali tersebut pada musim hadapan.

Laporan terkini dari media Croatia, Germanijak melaporkan bahawa Dejan Petrovic menolak untuk menyertai Hadjuk Split dan Maribor dari Slovenia, sebaliknya, memilih cabaran baharu untuk berkelana ke Malaysia bersama JDT.

“Walaupun beberapa hari ini timbul pelbagai berita mengenai masa depan Dejan Petrovič, Germanijak mendapati pemain tengah Slovenia itu telah menandatangani kontrak 4 tahun bersama JDT, pasukan paling berjaya di Malaysia,” lapor media dari Croatia itu.

“Beliau dikaitkan dengan beberapa kelab seperti Hadjuk Split, kemudian Maribor muncul sebagai calon utama untuk mendapatkan tandatangannya, namun akhirnya Dejan Petrovič memilih cabaran yang berbeza sepenuhnya (ke JDT).”

Semakan di laman Transfermarkt mendapati kontrak semasa Dejan Petrovic bersama pasukan HNK Rijeka bakal berakhir pada 30 Jun 2026 dan pemain tengah berusia 28 tahun ini bebas untuk memilih untuk destinasi baharunya pada musim hadapan.

Setakat ini, masih tiada sebarang pengesahan rasmi dari pihak pengurusan JDT mengenai khabar angin ini tatkala pasukan Harimau Selatan dijangka bakal kembali menjalani sesi latihan rasmi tidak lama lagi menjelang aksi Liga Malaysia 2026-2027.

Sebagai rekod, Dejan Petrovic mencatatkan 32 penampilan bersama HNK Rijeka musim ini selain berhasil menjaringkan satu gol dan membuat dua bantuan jaringan bagi membantu pasukannya menghuni tangga keempat di Liga Croatia musim lalu.

Kelibat Dejan Petrovic juga tidak asing lagi di pentas antarabangsa selepas beliau berjaya mengumpul 13 kaps bersama pasukan kebangsaan Slovenia dengan kali terakhir beliau tampil semasa aksi Kelayakan Piala Dunia zon Eropah pada November lalu.