Bintang Liverpool Dikesan Keturunan Malaysia
MakanBola
LFC/FAM

Bintang meningkat naik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool FC dikatakan memiliki pemain yang berketurunan Malaysia.

Pemain tersebut mula menjadi tular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas tampil cemerlang bersama The Reds pada kejohanan peringkat bawah umur.

Tonggak berbakat itu kini menikmati perkembangan karier yang cukup mengagumkan di Anfield sekali gus menjadi buah mulut tentang masa depannya pada pentas antarabangsa.

Bintang berbakat besar yang dimaksudkan itu adalah pemain wanita Liverpool bawah 15 tahun, Amber Low. Beliau kini beraksi bersama Akademi Liverpool di England.

Berdasarkan perkongsian oleh laman Women Football Malaysia, Amber memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibu bapanya yang berasal dari Johor.

“Amber memilih Wales berbanding Malaysia Bawah 17 tahun.

“Malaysia boleh yakinkan dia jika layak ke Piala Asia B-17,” ujar laman tersebut dengan memberikan kredit kepada individu bernama Faid.

Berdasarkan statistik oleh laman Playmakerstats, pemain ini beraksi pada posisi tengah dan sudah pun tampil dalam lima aksi bersama pasukan kebangsaan Wales B-17 pada tahun 2026.

Low turun beraksi selama 43 minit pada satu aksi terbaru pada 24 September ketika membantu Wales B-17 menentang Portugal B-17 selain mengumpul 274 minit permainan pada pentas antarabangsa, tahun ini.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung status kelayakan Amber Low untuk bersama skuad Malayan Tigress B-17 dalam masa terdekat.