Kedudukan penyerang Man United, Antony kini dalam bahaya apabila pasukan itu sedang menimbang nama penyerang Flamengo, Gabriel Barbosa.
Akhbar Daily Mirror melaporkan pengurusan The Red Devils menggaru kepala melihat barisan serangan mereka bergelut menjaringkan gol.
Marcus Rashford yang menjaringkan 30 gol musim lalu hanya menyumbat gol sekali musim ini. Nasib sama turut dialami Anthony Martial dan Alejandro Garnacho.
Penyerang terbaru United, Rasmus Hojlund sudah meledakkan tiga gol tetapi belum menyumbat gol sulung dalam EPL.
Dengan pelaburan Sir Jim Ratcliffe belum mendapat lampu hijau daripada pemilik The Red Devils iaitu keluarga Glazers, United perlu kreatif dalam mendapatkan pemain baru pada Januari ini.
Salah satu daripadanya ialah mendapatkan Barbosa pada kadar berpatutan dengan Antony dipinjamkan kepada Flamengo.
Sejak menyertai United pada musim lepas dengan yuran perpindahan £82 juta (RM459 juta), bekas penyerang Ajax Amsterdam itu merekodkan 50 penampilan dan lapan gol.
Bagaimanapun, musim ini menyaksikan Antony gagal menjaringkan gol. Keadaan ini tidak dibantu dengan tuduhan penderaan domestik yang difailkan beberapa wanita ke atasnya baru-baru ini.
Barbosa sebelum ini hampir menyertai West Ham United pada Januari lepas tetapi usaha tersebut tidak berhasil.
Beliau pernah beraksi dalam Serie A untuk pasukan Inter Milan dan berharap dapat mencuba sekali lagi dalam arena bola sepak Eropah.
Selain Barbosa, penyerang Porto dan Iran, Mehdi Taremi turut menjadi fokus United. Taremi menarik minat mereka kerana bakal bergelar ejen bebas pada musim panas tahun hadapan.