Menjelang saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang bakal berlangsung di Indonesia, gergasi Asia Tenggara iaitu Thailand sah terpaksa melupakan khidmat salah seorang pemain utama mereka.
Pemain yang dimaksudkan ialah Jonathan Khemdee, pemain kelahiran Denmark yang beraksi di posisi pertahanan tengah bersama kelab Ratchaburi dan skuad kebangsaan Thailand.
Menerusi pengumuman rasmi pengurusan skuad kebangsaan Thailand, Changsuek, Khemdee terpaksa diketepikan daripada kejohanan tersebut selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL), sekali gus memaksa pemain berusia 24 tahun itu berehat untuk tempoh yang panjang.
“Ratchaburi FC mengesahkan bahawa pemain pertahanan Thailand, Jonathar Khemdee, mengalami kecederaan. Selepas pemeriksaan dan penilaian oleh pasukan perubatan, Jonathan disahkan mengalami kecederaan koyak pada ligamen krusiat anterior (ACL) serta meniskus. Kecederaan tersebut memerlukan tempoh rawatan dan pemulihan secara berterusan.
“Pada peringkat awal, Jonathan dijangka memerlukan tempoh pemulihan sekitar lapan hingga 10 bulan. Beliau akan menjalani proses rawatan dan rehabilitasi di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan serta pakar sebelum penilaian dibuat terhadap kesediaannya untuk kembali menjalani latihan dan beraksi di atas padang,” umum Changsuek di laman Facebook.
Kehilangan Khemdee pastinya memberikan sedikit cabaran buat Thailand memandangkan pemain itu merupakan antara pilihan utama di bahagian pertahanan skuad kendalian Anthony Hudson.
Sebagai langkah segera, Hudson telah memanggil Phichawat Akkatham untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Khemdee dalam senarai pemain Thailand bagi menghadapi kejohanan tersebut.
Thailand diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Pakistan dan Filipina, dengan skuad Gajah Perang bakal memulakan kempen mereka menentang Pakistan pada 26 September ini.
Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Sri Jalak Harupat sebelum Thailand meneruskan aksi kedua menentang Vietnam pada 29 September.
Thailand kemudiannya akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan berdepan Filipina pada 2 Oktober, dengan skuad kendalian Hudson pastinya mengharapkan permulaan positif meskipun terpaksa beraksi tanpa kelibat Khemdee.