Bisnes penjaga gol veteran Singapura, Hassan Sunny meningkat dengan begitu mendadak selepas muncul wira buat China layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 40 tahun itu menjadi antara watak penting pasukan selepas menafikan pesta gol anak didik Masatada Ishii.
Antara watak pemain Singapura yang menjadi tumpuan peminat China ialah Ikhsan Fandi yang meledak satu gol sungguhpun tewas 3-1 kepada lawan.
Seorang lagi pemain yang menjadi tumpuan ialah Hassan Sunny selepas para penyokong menghamburkan pujian pada ruangan komen media sosialnya.
Bukan itu sahaja, sebahagian besar warga China yang berada di Singapura telah berkunjung ke Gerai Nasi Lemaknya untuk menyatakan sokongan.
Berdasarkan beberapa klip yang tular di laman sosial, gerai Hassan Sunny kelihatan mendapat sambutan hebat dengan para pembeli beratur panjang untuk mendapatkan makanannya.
Malah, terdapat segelintir warga China yang memindahkan wang kepada gerainya sebagai tanda penghargaan.
Singapura bagaimanapun gagal menempah tiket ke pusingan ketiga Kelayakan Dunia 2026 dan bakal beraksi pada Kelayakan Piala Asia 2027.